Ahad, 20 Mac 2011

Pelancaran Program Mentor - Menti

21 Mac 2011, bertempat di Dewan Terbuka SK Taman Pelangi Indah, Majlis Pelancaran Mentor-Menti telah dirasmikan oleh guru besar iaitu Tn Hj Zainuddin bin Hj Mohd Alie. Program itu bertujuan untuk persediaan pelajar tahun 6 yang akan menghadapi peperiksaan UPSR. Dalam program tersebut, menti akan membuat temu janji bersama mentor dalam pengkhususan tentang pencapaian pelajaran dan sahsiah diri. Selain dari itu, menti juga berpeluang bertanyakan masalah mereka kepada mentor. Dalam ucapan perasmian pihak pentadbir telah memberi beberapa nasihat dan tips kepada pelajar tahun 6. Seterusnya pihak guru besar mengucapkan ucapan tahniah kepada Unit Bimbingan Kaunseling kerana telah merangka salah satu program untuk pelajar tahun enam dalam mencapai keputusan yang cemerlang. Seterusnya pembahagian menti telah disempurnakan oleh guru besar dimana seramai dua tau tiga orang pelajar telah diserahan kepada mentor mereka. Majlis perasmian telah ditamatkan pada jam 8.15 pagi

Ahad, 13 Februari 2011

LARIAN MAHKOTA


Tanggal 12 Februari 2011, bertempat di Dataran Muafakat SK Taman Pelangi Indah, Larian Mahkota Johor Peringkat Sekolah telah dirasmikan oleh Guru Besar iaitu Tn Hj Zainuddin bin Hj Mohd Alie. Seramai 150 pelajar telah bersama-sama mengambil bahagian dalam acara tersebut. Dalam ucapan perasmian guru besar telah menerangkan tujuan dan matlamat larian mahkota diadakan. Selain daripada itu, acara ini juga menguji daya fizikal dan mental pelajar dalam menghabis jarak larian sejauh dua kilometer. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan polis yang telah bersama-sama dalam membantu keselamatan pelajar ketika berlari di jalan raya. Begitu juga dengan ibu bapa yang sama-sama mengiringi anak mereka semasa berlari.

Jumaat, 21 Januari 2011

Majlis Tautan Bestari

Pihak Pentadbir dan guru-guru SK Taman Pelangi Indah, berbesar hati menjemput ibu bapa / penjaga murid-murid Tahun 6 ( 2011 ) menghadiri Majlis Tautan Bestari iaitu program bersama pentadbir, guru dan ibu bapa. Program ini bertujuan untuk memberi informasi dan pendedahan awal kepada ibu bapa / penjaga mengenai persiapan UPSR yang akan dihadapi oleh anak-anak mereka. Selain dari itu, program ini juga memberi peluang kepada ibu bapa untuk berinteraksi dengan pihak sekolah khususnya pihak pentadbir dan guru-guru. Di dalam program ini juga, ibu bapa / penjaga diberi Santapan Minda yang bertajuk Kecemerlangan Anak Kecemerlangan Ibu Bapa yang akan disampaikan oleh Tn Hj. Salamian bin Surip. Semoga Majlis Tautan Bestari ini, akan memberi satu panduan dan jajaran yang baik kepada pelajar, ibu bapa dan penjaga.

Tentatif Program:
8.00-8.30 Pendaftaran Ibu bapa
8.30-8.45 Sarapan Pagi
8.45-8.50 Bacaan Doa
8.50-9.00 Kata Aluan Pengerusi Majlis
9.00-10.30 Santapan Minda
10.30-10.35 Penyampaian Cenderamata
10.35-11.00 Akujanji Pelajar
11.00 - 11.15 Taklimat Ringkas Guru B&K
11.15 - 11.30 Ucapan YDP PIBG
11.30 -12.00 Ucapan Penutup Guru Besar
12.00 Bersurai

Selasa, 9 November 2010

Program Hari Keluarga SKTPI


30 dan 31 Oktober 2010, bertempat di Damai Beach Resort, Kota Tinggi, Johor, guru-guru SK Taman Pelangi Indah telah berkumpul di sana kerana mengadakan Program Hari Keluarga 2010. Program tersebut telah dirasmikan oleh Hj Zainuddin bin Hj Mohd Alie iaitu guru besar SK Taman Pelangi Indah. Aturcara pada malam tersebut dimulakan dengan ucapan Timbalan Pengerusi BKGS. Seterusnya ucapan guru besar dan perasmian program. Pada malam tersebut guru besar menyumbangkan dua buah lagu. Suasana yang sunyi, damai dan tenang program berjalan dengan lancar dan sempurna. Program ini bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim sesama guru dan staf. Selain dari itu, ahli BKGS ingin mencari kelainan dalam mengadakan program hari keluarga. Pada pagi ahadnya, sukaneka berlangsung dengan meriah dan gembira. Ahli BKGS dengan sporting bersama-sama memeriahkan sukaneka yang diadakan. Antaranya mencari telur penyu, boling kelapa, menjahit dan berenang dalam air bagi acara kanak-kanak. Acara mewarna juga diadakan bagi yang berumur 3 tahun hingga 6 tahun. Dalam majlis penutupan Penolong Kanan Pentadbiran iaitu En Idris bin Kassim mengingatkan ahli BKGS agar dapat meneruskan program yang seumpama ini pada masa hadapan.

Selasa, 19 Oktober 2010

Sukan SKTPI 2010

14 Oktober 2010 bertempat di padang sekolah SK Taman Pelangi Indah, kejohanan balapan dan padang telah diadakan. Terdiri dari empat rumah sukan telah mengambil bahagian. Rumah Sukan Kuning telah menjadi johan keseluruhan, diikuti Rumah Sukan Biru sebagai tempat kedua, Rumah Sukan Hijau Tempat Ketiga dan Rumah Sukan Merah tempat keempat. Kejohanan berlangsung bermula seawal pagi dan tamat pada pukul 1.00 tgh. Perasmian telah di jalankan oleh YDP Persatuan Ibu Bapa dan Guru iaitu Tn Hj Zulkifli. Tentatif kejohanan telah dimulakan dengan lintas hormat oleh Unit-unit uniform dan juga peserta perbarisan rumah sukan. Menerusi acara jemputan kaum bapa, pasukan guru dan campuran JK PIBG telah berjaya mengalahkan kaum bapa dalam acara tarik tali. Begitu juga acara tarik tali antara rumah sukan telah dimenangi oleh Rumah Sukan Kuning. Di dalam ucapan alu-aluan Guru Besar, Tn Hj Zainuddin bin Hj Mohd Alie, beliau telah menyatakan perasaan gembira dan terharu dengan sokongan PIBG, ibu bapa dan guru-guru dalam menjayakan sukan sekolah. Hendaknya sukan ini menjadi satu penyambung wacana kepada bakat pelajar dan potensi pelajar dalam menjadi seorang yang berguna pada masa hadapan.

Rabu, 18 Ogos 2010

PERTANDINGAN KAWAD UNIT BERUNIFORM 2010


24 Julai 2010, Hari Sabtu bertempat di Dataran Muafakat SK Taman Pelangi Indah, satu pertandingan Kawad Kaki Unit Beruniform telah diadakan. Pertandingan tersebut telah dianjurkan oleh Unit Ko Kurikulum SK Taman Pelangi Indah. Sebanyak lima unit uniform telah menyertai pertandingan kawad kaki iaitu Unit Pengakap, Unit Puteri Islam, Unit Tunas Puteri, Unit PBSM dan Unit TKRS. Unit PBSM telah menjadi johan dalam pertadingan yang dianjurkan. Pihak pentadbir khususnya pihak GPK KoKo merakamkan jutaan terima kasih kepada guru-guru penasihat dan pelajar kerana bertungkus-lumus untuk menjayakan program ini.

Selasa, 20 Julai 2010

KURSUS DALAM PERKHIDMATAN


15 Julai 2010, warga pendidik SK Tmn Pelangi Indah, telah mengikuti kursus LDP di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru. Kursus LDP telah dihadiri seramai 39 guru termasuk 4 orang guru pratikum dari Institut Perguruan Temenggong Ibrahim Johor Bahru, Johor. Kursus LDP telah disampaikan sendiri oleh Guru Besar iaitu Hj Zainuddin bin Hj Mohd Alie. Tajuk kursus ialah Transformasi Kepimpinan. Diantara objektif kursus adalah memberi kefahaman kepada guru bagaimana memahami dan menghayati ilmu dan teori kepimpinan. Selain daripada itu juga, mendedahkan guru bagaimana mengaplikasikan ilmu dan teori kepimpinan secara berkesan di dalam persekitaran pendidikan. Seterusnya guru didedahkan juga konsep memimpin secara berkesan di dalam satu-satu organisasi.